Adakah kehadiran teknologi maklumat dan internet dalam dunia ini telah menjadikan sesetengah kelompok individu menghidapi sejenis penyakit atau kecelaruan yang dikenali sebagai ketagihan internet (internet addiction disorder) atau pun ketagihan komputer? Adakah ia sejenis penyakit baru, yang sebelum ini tiada dalam istilah perubatan? Atau mungkinkah sejenis gangguan yang telah sedia ada dalam diri individu terbabit, sama seperti ketagihan dadah dan arak, tetapi ia berlaku disebabkan oleh komputer dan internet? Adakah komputer atau internet juga boleh menyebabkan ketagihan?
Ini merupakan satu aspek yang perlu diberi perhatian lebih-lebih lagi banyak laporan dan kajian memang mengakui terdapat individu mengalami ketagihan komputer dan internet. Apakah ketagihan internet? Persoalan yang amat sukar dijawab tetapi perlu dijawab berdasarkan kepada fakta dan kajian yang kukuh. Adakah ketagihan internet atau ketagihan komputer ini berbeza dari ketagihan yang lain seperti ketagihan dadah, arak, rokok dan sebagainya? Dan apakah kesan dari ketagihan internet? Perlu juga difikirkan.
Kajian sains mendapati manusia sebagai makhluk yang paling mudah mendapat ketagihan dalam kehidupan mereka, walaupun pada masa yang sama mereka amat takut menjadi seorang penagih. Sememangnya terdapat banyak perkara yang boleh mendatangkan ketagihan seperti makan, membeli belah, menonton, membaca dan lain-lain. Malah ada individu yang ketagih bekerja. Tetapi mengapa ada individu lain yang juga menonton, bekerja, makan dan membeli-belah, tetapi tidak mengalami ketagihan?
Dunia perkomputeran, teknologi maklumat dan internet juga sudah tentu boleh membuat seseorang menjadi ketagih. Mengapa? Ini kerana mereka semua mampu melayan segala macam keperluan yang diidami setiap individu, dari keperluan naluri seksual, mental, emosi dan intelek sehinggalah keperluan spiritual. Mereka umpama sahabat dan rakan kepada mereka. Malah ada individu yang menganggap komputer dan internet sebagai sebahagian dari diri dan kehidupan mereka dan mereka akan dirundung rindu resah dan gundah gulana sekiranya tidak berpeluang "melayan sahabat" mereka ini.
Kajian yang dijalankan oleh Netaddiction. com mendapati ada lima kategori bahan kandungan dunia siber yang berisiko tinggi menyebabkan ketagihan seperti berikut:
1. Ketagihan seks siber : cenderung melawati laman web porno, chatting room berkaitan seks dan lain-lain
2. Ketagihan hubungan siber : keinginan yang kuat untuk berhubung sama ada melalui email, chatting, diskusi dan sebagainya
3. Ketagihan maklumat : mudah dipengaruhi oleh laman-laman web berunsur ehwal semasa, pencarian maklumat dan pengkalan data
4. Ketagihan komputer : terpengaruh dengan peralatan teknologi perkomputeran, ciri-ciri komputer cip dan kad, sistem bunyi dan lain-lain
5. Ketagihan permainan komputer : mudah lalai akibat taksub bermain permainan komputer sehingga sukar berhenti
Sebenarnya bagi mengenal pasti samada penggunaan terhadap komputer dan internet menyebabkan ketagihan atau sebaliknya bergantung kepada cara dan konteks serta keperluan yang ada dalam diri seseorang individu. Di samping itu, perkara seperti berikut juga harus lah diberi perhatian bagi menilai tahap kebergantungan kepada komputer dan internet yang boleh menyebabkan ketagihan:
1. Lebih banyak menghabiskan masa di depan komputer berbanding biasa atau melebihi keperluan penggunaan yang sewajarnya
2. Masa untuk melayari internet semakin bertambah dan menjejaskan peranan sebagai seorang individu, pelajar, atau pekerja dan juga menjejaskan tahap produktiviti dan kesejahteraan hidup yang biasa
3. Berasa kurang yakin atau gagal untuk mengawal diri dari pengaruh internet
4. Semakin kurang tumpuan kepada penjagaan kesihatan diri dan pembahagian masa sewajarnya berbanding biasa
5. Muncul tekanan perasaan seperti marah, kecewa dan sedih yang berkaitan secara langsung dengan komputer dan internet dan mula mengasingkan diri dari masyarakat
6. Wujud rasa bosan atau bimbang dan cemas yang keterlaluan jika tidak melayari internet untuk jangka masa tertentu
7. Penggunaan internet yang mengakibatkan kemarahan atau gangguan kepada orang lain seperti ibu bapa, suami atau isteri dan boleh menyebabkan pertengkaran.
Seseorang yang ketagih internet dan komputer didapati gagal memberi tumpuan yang baik terhadap kehidupannya sepeti biasa. Kehidupan individu yang normal terjalin apabila ia dapat mengekalkan peranannya sebagai seorang manusia yang normal, mewujudkan perhubungan yang baik dan memelihara kesihatannya secara optimum. Bagi mereka yang ada ketagihan ini , peranan dan perhubungannya dengan individu lain dalam lingkungan hidupnya terjejas. Bagi mengelakkan perkara ini daripada berlaku, strategi dn langkah berikut boleh lah diberi perhatian:
1. Tetapkan objektif dan matlamat sebelum melayari laman web atau menggunakan komputer dengan mengenalpasti tujuan-tujuan penggunaan mereka
2. Tetapkan melayari laman-laman web yang tertentu dan yang perlu sahaja, atau sekadar memenuhi keperluan yang dikehendaki agar tidak melebihi had dan bagi mengelakkan melayari laman yang tidak perlu
3. Hadkan atau tetapkan jangkamasa yang diperlukan ketika menggunakan komputer dan ketika melayari laman siber bagi mengelakkan pembaziran masa
4. Bahagikan masa yang sewajarnya antara kehidupan di dunia siber dan kehidupan di alam nyata supaya wujud keseimbangan
5. Jadikan ruang siber dan internet sebagai sumber pengetahuan untuk meningkatkan peranan menjadi seorang manusia yang sempurna dan untuk menambah kemahiran yang diperlukan dalam kehidupan
Kesimpulan
Teknologi maklumat dan internet sememangnya mempunyai kesan yang amat besar dalam kehidupan manusia. Dalam aspek kesejahteraan individu dan hubungannya dengan teknologi maklumat, terdapat satu tindak balas yang saling pengaruh mempengaruhi antara satu ama lain. Memandangkan hubungan dan kaitan yang rapat antara manusia dan teknologi maklumat ini, tidak hairanlah terdapat antara mereka yang tenggelam dalam dunia siber, di samping mereka yang menggunakan internet sebagai saluran untuk mencapai keseronokan peribadi semata-mata. Lebih merisaukan lagi apabila internet ini lebih mengkhayalkan yang menyebabkan manusia leka dan lupa akan perintah yang diwajibkan ke atas mereka iaitu beribadat kepada Yang Maha Esa. Hanya mereka yang mampu mewujudkan keseimbangan antara aktiviti internet dan kehidupan sebenar serta tidak melupakan kewajiban sebagai hamba Allah s.w.t sahaja yang dapat mempertingkatkan kesejahteraan dalam urusan kehidupan mereka untuk kebaikan sesama manusia dunia dan akhirat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan