Sabda Rasulullah S.A.W: "Barangsiapa yang menginginkan soal-soal yang berhubungan dengan dunia, wajiblah ia memiliki ilmunya; dan barang siapa yang ingin (selamat dan berbahagia) di akhirat, wajiblah ia mengetahui ilmunya pula; dan barangsiapa yang menginginkan kedua-duanya, wajiblah ia memiliki kedua-duanya pula" Hadith riwayat Bukhari dan Muslim

Ahad, 24 April 2011

Tulisan kemas 'tawan hati' pemeriksa


Salah satu aspek yang penting ketika menjawab peperiksaan ialah kekemasan penulisan. Walaupun kekemasan penulisan tidak dimasukkan sebagai markah - atau diberi markah bonus sekiranya tulisan kita cantik berbunga-bunga - tetapi tulisan yang mudah dibaca akan menggembirakan hati pemeriksa kertas jawapan.
Sebenarnya kita tidak perlu tergesa-gesa menjawab sesuatu soalan sehingga akhirnya tulisan kita sukar dibaca. Sekiranya kita menjawab soalan subjektif pada kertas dua atau tiga, maka kebolehbacaan tulisan kita turut menjadi pertaruhan kepada pertimbangan pemeriksa kertas.

Bagi soalan-soalan yang berbentuk nyatakan, labelkan, tandakan atau senaraikan, maka kita sebenarnya tidak perlu menulis ayat-ayat yang berjela-jela. Memadai tuliskan fakta dalam dua atau tiga patah kata.

Jangan mencuba-cuba meraih simpati pemeriksa dengan memberikan dua atau lebih pilihan jawapan dengan harapan pemeriksa akan memilih yang mana satu betul. Pada kebiasaannya, pemeriksa akan memangkah salah pada jawapan yang tertera dua pilihan, walaupun yang satu mungkin betul, dan yang satu lagi salah.
Sebagai contoh, diberikan soalan berikut: Apakah gas yang dibebaskan semasa proses fotosintesis? Pelajar menjawab - oksigen/karbon dioksida. Maka pemeriksa akan mengira jawapan itu salah. Jadi, tulis hanya jawapan yang tepat.

Jika anda ditanya soalan seperti huraikan atau terangkan, maka barulah jawapan anda agak panjang, sertakan sekali contoh-contoh yang perlu. Calon biasanya akan berasa jawapan mereka tidak memadai dan cuba menulis sebanyak mungkin untuk memuaskan hati. Inilah menjadi punca tulisan tidak kemas kerana hendak mengejar masa. Penggubal soalan tidak pernah cuba menyusahkan anda dengan menjawab sehingga empat atau lima helai kertas. Ada juga pelajar yang asyik meminta kertas tulis tambahan. Ini cukup menghairankan!
Kalau boleh, elakkan tulisan bersambung.

Jangan pula cuba menulis meraih simpati penulis kertas dengan menulis kata-kata tertentu seperti, ``Tolonglah saya,'' ``berilah saya markah tinggi,'' ``kita sama-sama Melayu'' atau sebagainya. 

Ada juga pelajar yang melukis pelbagai simbol untuk menarik perhatian cikgu, melepaskan geram, untuk menunjuk-nunjuk atau sebagainya. Kesemua ini akan menyebabkan pemeriksa berasa tawar hati untuk menyemak kertas anda.

Kesimpulannya walaupun pemeriksa tidak sepatutnya mencampur adukkan tanggungjawab dengan emosi, kita sepatutnya beringat bahawa "PEMERIKSA KERTAS JUGA MANUSIA BIASA". 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan